My Mak & MH370
Peristiwa MH370 masih menjadi tajuk berita utama berita TV dan akhbar akhbar utama sehingga kini. Pelbagai cerita mengenainya selalu muncul di laman sosial mengenai MH370. Pelbagai cerita... kadang kala sungguh menganggu emosi.
Ulasan demi ulasan dari ramai pakar membuatkan saya tersedar bertapa kita mempunyai terlalu ramai pakar ... saya sangat kagum.. pelbagai profesor dari pelbagai bidang muncul di kaca TV saban hari. Maka saya mula mengetahui ada juga pakar yang mengkaji lautan... boleh mengetahui trend arus lautan dan lain lain lagi mengenai lautan. Semua stesen TV berlumba lumba memberikan pelbagai maklumat. Akhbar pula mempamerkan gambar aset aset yang digunakan bagi proses mencari dan menyelamat "SAR"
Bagi yang begitu meminati kapalterbang tidak kira besar atau kecil... saya menjadi teruja....sangat teruja melihat jenis pesawat yang digunakan. Walaubagaimana pun ...itu semua bukan menjadi bahan utama bagi pengisian blog saya kali ini. Kali ini saya akan menulis tentang ibu saya yang saya rasa terlalu mengikuti perkembangan MH370 ini.
Biodata ibu saya amat mudah.... umurnya 77 tahun. Beliau bukan seorang profesor atau pakar dalam mana mana bidang. Oleh itu sebarang kenyataan darinya tidak boleh kita guna pakai atau dijadikan sebagai rujukan rasmi. Dek kerana saban hari dia membaca akhbar dan menonton sebarang berita dan bual bicara tentang pesawat MH370 ... dia tahu apa itu pesawat P3 Orion, ... P3 Orion menggunakan 4 enjin yang menggunakan kipas... lalu dia bertanya kepada saya.... Bagaimana pesawat P3 Orion yang menggunakan kipas boleh "terangkat" (itu bahasa orang tua sepertinya) yang bermaksud terbang. Saya tewas ... kerana tidak dapat memberikan jawapan yang tepat untuknya kerana sememangnya saya tidak tahu.
Begitulah adanya setiap hari selama sebulan ... saya melayan pelbagai pertanyaan dari ibu saya ini. Pelbagai soalan... sangat banyak soalannya dan kenyataan yang dikeluarkan olehnya setiap hari ..... "SETIAP HARI" (hmmmm ... saya insaf ... mungkin sewaktu kecil juga saya begitu agaknya) sehinggalah satu hari dia menyuruh saya memberitahu suami saya yang pesawat MH370 sekarang... "dia rasa" sedang berada di Myanmar. Saya merasakan ianya sangat melucukan dan menghiburkan hati saya yang terlalu lara. Saya tetap menghormatinya tanpa memberikan sebarang komen. Bila suami pulang berkerja ... suami saya yang stress dan lara juga turut gembira mendengar ulasan dari mak mertuanya.
Bersama ibu yang tercinta sebelum saya pulang semua ke Seremban
Seperti biasa sebelum saya pulang ke rumah saya akan bergambar dengan mak
|
Mak dah pun pulang ke kampung 3 hari lepas ... kini saya tidak lagi mendengar pelbagai pertanyaan & kenyataan baru mengenai MH370 darinya. Sewaktu pesawat MH370 hilang pada 8 March lalu... mak menelefon saya dari rumah kakak ... dia tahu pesawat yang hilang itu ialah pesawat jenis B777... dan dia tahu menantunya membawa pesawat A380 ... dan dia juga tahu suami saya ada di rumah .... orang yang dia tanyakan ialah "Farid mana?" ..... Mungkin orang yang bernama Farid ini dia kenal dan pernah berjumpa .... saya kata.... "ada dan Farid tak bawa 777 mak"..... dia sama macam Hisham bawa A380. Tanpa apa apa cerita lagi dia terus meletakkan telefon. Begitulah orang tua... bila sudah mendapat maklumat yang dia mahu dia terus meletak telefon tanpa sebarang ucapan bye atau apa apa..... saya dah faham perangai mak saya ini.
Sewaktu di Mersing pula baru ini .... dia bercerita kepada Pak cik Lokman saya ..... yang dia rasa pesawat MH370 disorokkan dan orang telah menyelimutkan pesawat itu dengan "gebor" (itu bahasa orang Johor bagi selimut) ..... Saya hanya mampu mengerutkan dahi dan tak tahu nak cakap apa dah dengan kenyataan baru mak saya ini yang pesawat itu orang sorok dan selimutkan dengan gebor supaya orang tak dapat lihat..... Huhhhhhh ..... mak.... mak.... sangat menghiburkan. Dalam hati saya berkata "Alhamdulillah" kalaulah semudah itu mak.....
Bila saya fikir fikir semula .... pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh stesen stesen TV tersohor dunia juga seperti ibu saya ini. Mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan tanpa sebarang bukti dan fakta yang sahih. Apa kurangnya dengan kenyataan perisikan dari Russia yang mengatakan pesawat MH370 berada di Afghanistan... dengan sebelah sayapnya patah. Tiada gambar dan tiada bukti yang sahih..... bila tiada gambar dan sebarang bukti yang sahih ... mereka semua mengeluarkan kenyataan sama sepeti mak saya yang bukan seorang pakar dari bidang yang berkaitan apatah lagi seorang agen perisik dari mana mana agensi perisikan utama dunia. Orang boleh bercakap dan terus bercakap ..... tanpa sebarang bukti...
Stesen stesen TV Malaysia sepatutnya menemu ramah orang orang seperti dan seusia mak saya ini bagi memberikan "light moment" kepada penonton. Ini bukan kisah mempersenda sendakan MH370 ... tetapi ianya menggambarkan harapan seorang tua yang masih menaruh harapan yang tinggi MH370 akan ditemui semula. Mereka adalah golongan yang terus dan tidak putus putus berdoa saban hari akan keselamatan pesawat dan penumpang yang berada di dalam pesawat MH370 itu.
Airmata saya sudah kering.... tetapi hati saya masih menaruh harapan agar keajaiban akan berlaku seperti mana yang ibu saya katakan yang pesawat itu "disorokkan" di mana mana.... Segala doa dari saya untuk MH370.....
No comments:
Post a Comment